Friday, December 16, 2011

Wasilah Dakwah Kontemporari



alt
Selain tutur bicara, mata pena juga sangat berkuasa dan bertindak menjadi medan seseorang untuk mengeksperasikan segala mesej yang ingin diketengahkan.
"Allahlah yang mengatur perjalanan hidup ini. Sungguh aku ingin membantumu Rul. Tapi agaknya takdir tidak menghendaki aku bisa membantumu kali ini. Sayang kau datang tidak tepat pada waktunya. Anna Althafunnisa sudah dilamar orang. Ia sudah dilamar oleh temanmu sendiri."
"Sudah dilamar temanku sendiri? Siapa?"
"Furqan! Ia sudah dilamar Furqan satu bulan yang lalu."
Mendengar hal itu tulang-tulang Azzam bagai dilolosi satu per satu. Lidah dan bibirnya terasa kelu. Furqan lagi. Ia berusaha keras mengendalikan hati dan perasaannya untuk bersabar.
"Ah semua sudah ada yang mengatur. Iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala. Jika saatnya ketemu nanti akan ketemu juga." Gumamnya dalam hati.
Membelek karya tulisan Habibburahman El Shirazy, seorang novelis tersohor yang mengadunkan nilai-nilai Islamik dalam novelnya, Ketika Cinta Bertasbih, beliau membawa satu pendekatan baru yang mampu menarik golongan muda ke arah pembudayaan pembacaan. Walaupun membawa tema percintaan, namun nilai Islam tidak pula diketepikan bahkan menjadi nadi penting untuk dihuraikan dalam setiap plot penceritaannya.
Rentetan itu, bukanlah suatu yang janggal andai medium penulisan menjadi salah satu gerak kerja dakwah pada masa kini. Selain wasilah berbentuk ceramah, diskusi serta hiburan yang membina, bidang penulisan juga adalah satu inisiatif yang boleh diketengahkan kerana  mampu menghidupkan dakwah secara tidak langsung.
Melihat kepada analogi, realitinya mata pena juga boleh menjadi penggerak untuk menzahirkan kepelbagaian penceritaan sama ada perasaan, harapan dan perbincangan tentang sesuatu permasalahan. Menyelami tulisan Nimoiz TY melalui karyanya, Menjadi Penulis Jutawan, beliau menyatakan bahawa terdapat 10 kuasa tulisan. Antaranya ialah tulisan bertindak sebagai satu agen informasi, menyuntik fahaman dan bertindak melebar serta meluaskan pengaruh. Penulisan terbaik ialah penulisan yang bertindak memberi kesan dan pengaruh kepada pembaca.
Gerak kerja dakwah tidaklah tertumpu kepada medium pengucapan sahaja. Menginjak ke zaman yang serba moden ini, dakwah secara bertulis sangat relevan memandangkan kepelbagaian bentuk pengolahan dan penceritaannya yang cuba disampaikan kepada segenap lapisan pembaca. Justeru, wasilah ini tidak perlu diundurkan sama sekali.
Majalah merupakan salah satu bentuk penulisan yang dilihat mampu menggerakkan dakwah kerana medium ini bertindak meletakkan mesej yang kuat dan berkesan. Momentum dan percambahan majalah-majalah Islamik kini sangat rancak dan diterima baik oleh semua peringkat umur. Kewujudan majalah-majalah berorientasikan Islam seperti majalah Solusi, Gen-Q, Majalah-I, Milenia, Asuh dan pelbagai majalah lain merupakan contoh bahan bacaan yang dapat memberikan input berguna pada setiap kumpulan sasaran pembacanya.
Saranan mewujudkan budaya mencintai ilmu ini bertepatan dengan perintah Allah SWT yang meletakkan budaya 'iqra' sebagai asas kepada pengetahuan manusia.
Firman Allah SWT:
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajarkan (menulis) dengan pena. Yang mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." Surah Al Alaq(1-5)
Menurut Faizatun Najihah Azaman, mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau melihat hal ini ada pro dan kontranya. "Bila memperkatakan mengenai kelebihan dan kekurangan, sesetengah orang lebih terkesan melalui penulisan. Bagi pembaca pula, sesetengahnya lebih suka membaca dan menghayati daripada menonton ataupun mendengar. Jadi, kita tidak boleh lebihkan salah satu. Ia perlu seimbang kerana masing-masing ada cita rasa, kelemahan dan keistimewaan tersendiri," jelasnya.
Majalah dakwah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan perlu disesuaikan mengikut sasaran pembaca. Antara aspek yang perlu dititikberatkan adalah merangkumi faktor peringkat umur pembaca, jenis pembacaan yang sesuai, teknik penyampaian atau pengayaan cerita dan beberapa faktor lain yang perlu ditekankan untuk menguatkan mesej yang ingin diketengahkan. Bahan dalam majalah juga perlu relevan dengan peredaran masa. Di samping itu, topik yang diutarakan penulis juga perlu bersesuaian dengan isu-isu semasa masyarakat. Namun, andai tajuk lama ingin diketengahkan semula, penulis perlu bijak menggunakan teknik memujuk dalam gaya penulisan mereka.
Memiliki bakat dalam bidang penulisan merupakan satu anugerah yang tidak ternilai tandingannya.  Justeru, kelebihan yang digunakan untuk tujuan pembaikan ini boleh dijadikan momentum terbaik sebagai langkah membawa mesej-mesej positif kepada  masyarakat.

8 Tips Mengelakkan Penangguhan


alt

Masalah bertangguh atau dalam Bahasa Inggerisnya 'procastination' merupakan satu ancaman kronik bagi ramai umat Islam di Malaysia mahupun seluruh dunia.
Oleh kerana terbiasa dengan sikap bertangguh, sesuatu matlamat atau tujuan itu sukar untuk direalisasikan dengan sempurna dan cemerlang.
Berikut kami kongsikan tips untuk mengatasi masalah ini.
Pengurusan Masa: 8 Tips Mengelakkan Penangguhan
1. Kenal pasti sebab penangguhan sesuatu tugasan
Tanya kepada diri anda, adakah anda takut akan gagal dalam tugasan tersebut? Ataupun, anda seorang yang mementingkan kesempurnaan yang hanya akan memulakan kerja setelah semuanya selesai? Ataupun anda seorang yang mudah terganggu dan tidak fokus dalam melangsaikan sesuatu tugasan?
2. Kenal pasti tugasan anda dan bahagikannya kepada tugasan yang lebih kecil
Satu tips motivasi pernah dikongsikan, untuk makan seeokor gajah, caranya adalah dengan memotong daging gajah itu kepada ketulan kecil daging.
3. Letakkan tarikh akhir untuk tugasan anda
Cuba berikan tarikh dan masa untuk sesebuah tugasan. Contohnya, anda meletakkan matlamat untuk menghabiskan membaca sebuah buku dalam masa 1 minggu.
4. Bekerja dalam blok masa yang kecil tetapi kerap daripada bekerja dalam satu blok yang mengambil masa yang panjang
Contohnya apabila belajar, rehatlah sebentar selama 10 minit untuk setiap 1 jam atau 30 minit setelah belajar selama 2 jam.
5. Mulakan dengan tugasan yang mudah dulu
Ini bertujuan untuk memberi momentum kepada anda untuk bergerak. Hal lain seterusnya akan menjadi mudah kerana momentum yang sedia ada.
6.  Mulakan dengan tugasan yang anda rasa sukar
Ini bercanggah dengan tips 6. Manfaat tips ini adalah untuk memberikan psikologi kelegaan kepada anda. Selepas anda berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan yang sukar, anda akan merasa sangat selesa kerana merasakan sebuah beban telah berjaya dialih. Tips ini memberi kepuasan kepada diri.
7. Memberitahu orang lain tentang tugasan anda
Contohnya, anda memberitahu kepada orang lain bahawa anda akan menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini akan menimbulkan rasa tanggungjawab di dalam diri anda untuk melunaskan tugasan tersebut.
8. Elakkan berada di tempat yang mampu mengganggu anda
Contohnya anda boleh memilih untuk belajar di perpustakaan atau tempat lain yang lebih sunyi jika anda bimbang anda akan leka dengan internet.

'Dean List' Kerana Allah



alt

Kehidupan sebagai seorang pelajar pastilah tidak dapat lari daripada peperiksaan. Apabila menyebut tentang peperiksaan, tidak dapat tidak, keputusan peperiksaan amatlah dititikberatkan. Sudah menjadi lumrah, yang mendapat markah tinggi itu bersalut kegembiraan dan mereka yang mendapat markah rendah berselubung duka.
Setelah keputusan peperiksaan keluar, terdapatlah beberapa orang pelajar yang tidak mendapat markah yang diharapkan. Selepas selesai bermuhasabah, maka mereka berpendapat, belajar bukan kerana Dean list, tetapi belajar kerana Allah. Sekali saya memandang seperti tidak ada yang silap.
Ya, benar! Belajar kerana Allah. Tidak ada yang silapnya di situ.
Matlamat yang disalahertikan
Bagi kebanyakkan pelajar tahun 1 di sini, dan saya percaya di mana-mana pun, semua orang akan meletakkan target, "Sekurang-kurangnya, Dean list". Saya juga pernah meletakkan targetsedemikian.
Timbulnya pendapat seperti di atas membuat aku sedikit lega. Tak dapat Dean list pun tidak mengapa. Janji, aku belajar kerana Allah. Namun aku tertanya-tanya, salahkah belajar keranaDean list? Tidak bolehkah kita belajar kerana Allah dan dalam pada masa yang sama mendapatDean list?
Pernah dikisahkan tentang seorang pemuda berperang kerana ingin mendapatkan bidadari. Maka timbul satu persoalan. Adakah dia berperang kerana Allah?
Ulama bersependapat mengatakan beliau berperang kerana Allah. Ini kerana, beliau yakin dengan balasan Allah janjikan iaitu balasan syurga dan bidadari. Berperang untuk menuntut janji-janji Allah.
Begitu jugalah dengan kita. Sunnatullah mengatakan mereka yang berusaha akan berjaya. Itu hukum alam. Syarat dan akibat. Mahukan akibat yang baik, ada syarat-syaratnya. Mahukan akibat yang kurang baik, ada syarat-syaratnya. Jadi bukankah mengejar kejayaan itu juga menunjukkan bahawa kita yakin dengan Allah? Percaya dengan sunnatullah?
Adakah mengejar kejayaan atau dalam konteks kita, Dean list adalah salah? Tidak kerana Allah?
Matlamat dan usaha
Tersebutlah kisah seorang pelajar yang terkejut dengan keputusan peperiksaan beliau. Maka terlintaslah dibenaknya, "Mesti aku belajar tidak ikhlas kerana Allah". Maka dibetulkan niatnya. Semester seterusnya keadaan yang sama berulang. Keputusan masih sama, tidak berubah. Maka hatinya berkata, "Mungkin aku tidak cukup ikhlas".  Kehidupannya diteruskan seperti biasa. Tidak apa yang berubah.
Dimana silapnya?
Cara kita bermuhasabah. Muhasabah niat itu tidak salah. Cuma muhasabah niat sahaja tanpa diteliti usaha yang telah kita berikan itulah yang silap. Mungkin saja usaha yang kita letakkan sudah sangat hebat, sehebat rakan-rakan kita yang lain. Rakan-rakan yang cemerlang dan selalu mendapat tempat teratas. Tapi, cukupkah?
Manusia itu berbeza. Usaha yang perlu bagi mereka dan kita tidak sama. Andai masih gagal sedangkan sudah berusaha. Itu maknanya, usaha kita belum cukup. Masih ada ruang untuk berusaha.
Jangan sampai koreksi niat setiap hari , keputusan masih juga sama. Akhirnya Tuhan yang dipersalahkan. Usah kita lupa, sunnatullah yang Allah tetapkan. Kejayaan tidak datang tanpa usaha. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Kesimpulan
Mengejar kejayaan itu tidak salah. Malah Islam sendiri menggalakan umatnya mengejar kejayaan dunia dan akhirat. Yang tinggalnya cuma, kenapa kita mahu berjaya. Niatlah kerana Allah kerana dengan itu segala benda yang baik dikira ibadah. Niatlah untuk mendapat kejayaan, kerana kita ialah umat yang Allah muliakan kerana Islam.

Sunday, December 4, 2011

Kenikmatan di Sebalik Kesakitan

alt


Tahukah kita bahawa di sebalik kesakitan yang kita perolehi itu ada kenikmatan yang dianugerahkan oleh-Nya? Tetapi betapa sikitnya umat manusia yang bersyukur atas nikmat yang diberi ini walaupun mensyukuri nikmat itu suatu kewajipan atas orang yang beriman. Manakala kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya.
Namun kenikmatan ketika sakit itu hanya dapat diukur oleh orang yang sedang sakit. Manusia dapat menilai erti kesihatan hanya apabila nikmat tersebut hilang. Bilamana sakit tersebut menimpa, maka sekali gus telah melenyapkan kebahagiaan.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia iaitu kesihatan dan waktu lapang."
Namun sebagai orang hamba yang beriman, apabila ditimpa musibah penyakit ia tetap berzikir kepada Allah, bersyukur, bersabar dan mengharapkan ganjaran pahala. Sebagai mana sebuah hadis riwayat Muslim daripada Suhaib r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): 'sungguh ajaib keadaan seorang mukmin. Seluruh keadaanya pasti menjadi baik. Dan ia tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan orang beriman. Apabila ia memperoleh kenikmatan, ia akan bersyukur, maka kesenangan itu akan menjadi kebaikan buat dirinya."
Betapa Beruntungnya Orang yang Sakit
Sekiranya orang yang sakit mahu merenung pelbagai keuntungan dan kebaikan dari penyakitnya, nescaya ia tidak akan mengangankan kesembuhan daripada penyakit tersebut.
Salah satu kelebihan sakit ialah ia dapat mengangkat darjat seseorang di sisi Allah. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya balasan pahala yang besar diperoleh melalui ujian yang besar. Kalau Allah mencintai seseorang, pasti Allah akan memberikan ujian kepadanya. Sesiapa yang redha menerima ujian Allah, maka baginya keredhaan-Nya. Dan sesiapa yang kecewa menerimanya, nescaya ia akan menerima kemurkaan-Nya."
Apabila cubaan dan penyakit menimpa orang yang memiliki hubungan yang baik dengan Allah, lalu ia mampu bersabar, nescaya semuanya itu menjadi tanda kebaikan dan tanda cinta kasih daripada Tuhannya. Sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Kalau Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang hamba, maka Allah percepatkan seksaan di dunia."
Abdullah bin Mas'ud r.a. pernah menemui Rasulullah s.a.w. ketika Baginda mengalami demam yang amat teruk. Beliau bertanya: "Wahai Rasulullah! Engkau juga mengalami demam seteruk ini?" Baginda menjawab: "Betul. Bahkan aku merasa demam dua kali ganda lebih berat daripada yang biasa kamu rasakan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sa'ad bin Abi Waqqas pernah ditanya seseorang: "Siapakah orang yang paling berat cubaannya?" Beliau menjawab: "Rasulullah s.a.w. pernah bersabda (yang bermaksud): 'Orang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian diikuti orang yang berikutnya (iaitu orang dibawah kedudukan mereka) secara berturut. Seseorang hamba akan mendapat cubaan sesuai dengan kadar imannya. Sekiranya imannya kuat, maka cubaan yang menimpanya juga berat. Sekiranya imannya lemah maka cubaan yang menimpanya sesuai dengan kadar imannya. Cubaan akan terus menimpa seorang hamba, sehinggalah ia berjalan di bumi tanpa memiliki sekelumit dosa pun."
Suatu hari, Rasulullah s.a.w. datang menemui Ummu al-Saib. Baginda bertanya: "Kenapa engkau menggigil seperti itu wahai Ummu al-Saib?" Wanita itu menjawab: "Demam, Allah tidak memberkati padanya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau mengutuk penyakit demam kerana penyakit itu boleh menghapauskan dosa anak-anak adam..."
Ulama' Mengharapkan Sakit
Imam Ibn Abi al-Dunya menceritakan: "Sesungguhnya para ulama' dahulu mengharapkan ditimpa demam satu malam agar diampunkan dosa-dosa mereka yang lampau."
Mengapa perlu bersedih apabila ditimpa penyakit? Kemungkinan dengan penyakit itu kita memiliki kedudukan di sisi Allah Taala yang tidak dapat dicapai oleh perbuatan amal ibadat. Jadi, Allah terus memberi cubaan kepada kita dengan hikmah-Nya yang mungkin kita tidak menyukainya, lalu ia mengurniakan kepada kita kesabaran dalam menghadapinya sehingga kita mencapai kedudukan tersebut.
Antara Maha Lembutnya Allah s.w.t. dan rahmat-Nya, bahawa apabila Allah menutup satu pintu kebaikan bagi seseorang, nescaya ia akan membuka banyak lagi pintu kebaikan yang lain. Bagi orang yang sakit, Allah tidak menghalangnya daripada mendapat pahala daripada pelbagai ibadah yang biasa mereka lakukan, meskipun mereka tidak menyempurnakan lagi kerana mereka sakit.
Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Abu Musa al-'Asy'ari r.a., beliau bercerita:"Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Kalau seseorang hamba sakit atau sedang bermusafir, pasti Allah akan menulis baginya pahala seperti ketika ia mengamalkan ibadah semasa masih sihat dan sedang bermukim."
Kemuliaan apa lagi yang mahu diperoleh setelah diberikan Allah kemuliaan ini? Keutamaan apa pula yang lebih luas selain daripada keutamaan dari Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan? Ketika sakit, seorang hamba berehat, namun Allah masih menulis pahala daripada ibadah dan perbuatan baik yang diamalkan semasa sihat.
Jangan Risau! Setiap Kesukaran Itu Ada Kemudahan
Sesungguhnya setiap kali Allah mendatangkan kesusahan, pasti Allah mendatangkan kemudahan sesudahnya. Ini kerana ia menjadi sunnatullah yang berlaku terhadap makhluk-Nya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud: "Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu, ada kemudahan(5). Sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan(6)."
Boleh jadi pelbagai kesukaran dan kesulitan itu membuatkan seseorang hamba itu tertekan jiwanya, namun pasti akan ada jalan keluar dari sisi Allah yang akan diperolehnya. Mungkin sahaja seseorang yang menghadapi saat kesukaran dan dirasakan tidak akan dapat memperoleh penyelesaian, tiba-tiba terbuka di hadapannya jalan keluar yang tidak pernah ia terfikir sebelumnya.
Bagi orang diberi ujian(penyakit) daripada Allah, janganlah kita berburuk sangka kepada Allah, berasa kecewa dan berputus asa kerana apa-apa sahaja yang terdapat dalam persangkaan seorang hamba, maka begitulah yang Allah lakukan terhadapnya.
Jika hamba itu bersangka baik kepada-Nya, maka Allah akan memberikannya perkara-perkara yang baik. Sebaliknya jika hambanya bersangka buruk terhadap dirinya, maka Allah menganggap ia sebagai satu doa, bahkan Allah akan mengabulkan doa itu sesuai dengan permintaannya sebagaimana hadis riwayat oleh Imam Ahmad:
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Bahawa Allah Azzawajalla berfirman: 'Aku hanya mengikut sangkaan hamba-Ku sahaja. Kalau ia bersangka baik kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu. Kalau ia bersangka buruk kepada-Ku, Aku pun akan berbuat begitu terhadapnya."
Akhir kalam, Sentiasalah bersabar atas dugaan kesakitan yang diberi kerana sedetik masa orang yang sakit itu dinilai oleh-Nya. Mungkin nilaian inilah yang memberatkan timbangan amal kita apabila dihisab di akhirat nanti. Wallahua'lam.