Sunday, May 29, 2011

Cahaya Yang Merubah Dunia


Peralihan zaman memperlihatkan kepada kita kewujudan pelbagai tamadun besar dunia. Kerajaan Mesir Purba, Rom, Parsi dan Byzantine merupakan antara tamadun yang pernah menempa nama dalam sejarah dunia. Tamadun yang tertua dijumpai adalah kerajaan yang pernah terbina dilembah sungai Tigris-Euprates kira-kira 5000 tahun dahulu. Namun, kesemua tamadun ini runtuh dan jatuh setelah kedatangan Islam. Bagaimana kerajaan yang sebegini kukuh akhirnya akur dengan kehebatan Islam?
Sebelum kedatangan Islam, titik permulaan dan peralihan sesuatu tamadun tidak dapat dipastikan secara tepat malah tidak dapat dijelaskan asal-usulnya yang sebenar. Sesungguhnya tamadun yang berdiri gah sebelum kedatangan Islam dibina dari aspek pembangunan material semata-mata. Tamadun-tamadun ini mempunyai kemajuan peradaban yang tinggi dan teknologi yang hebat. Sebagai contoh, Mesir purba adalah satu-satunya kerajaan yang mempunyai rahsia teknologi pembuatan piramid yang sehingga kini masih dikaji teknologinya.



Cahaya yang bersinar
Berlaku salah faham dalam kalangan umat Islam yang mengatakan bahawa agama tidak berkaitan secara langsung dengan pembinaan tamadun. Agama tauhid mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam pembangunan manusia. Rasul-rasul diutuskan oleh Allah SWT untuk membebaskan manusia daripada pelbagai belenggu yang merantai mereka dari kemajuan. Hakikatnya, tamadun Islam bermula sejak Rasulullah SAW mendapat wahyu pertama pada 610 Masihi ketika berusia 40 tahun.
Rasulullah SAW membangunkan kerajaan Islam dengan pembinaan generasi unggul yang dipersiapkan dengan mental, fizikal dan rohani yang mantap untuk menggembleng perkembangan tamadun Islam. Umumnya, tamadun Islam tidak melihat material sebagai lambang kemegahan sebaliknya pemantapan jiwa dan ruh Islami menjadi tunjang utama kekuatan tamadun Islam. Inilah yang akhirnya berjaya menumbangkan tamadun-tamadun besar dunia yang lebih 'senior'.

No comments:

Post a Comment